Minit Mesyuarat Khas Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran

Tarikh

:

24 Julai 1987

Masa

:

9.00 pagi

Tempat

:

Dewan Syura , 

Pusat Islam Malaysia ,

Kuala Lumpur .

1.

Ucapan Pengerusi

Tuan Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir terutama kepada pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di atas sambutan mereka terhadap jemputan Bahagian Hal Ehwal Islam ini. Pengerusi memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat pada kali ini adalah bertujuan untuk membincangkan cadangan garis panduan pembinaan rumah-rumah Ibadat bukan Islam.

Seterusnya beliau memaklumkan bahawa isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam menjadi masalah utama sekarang ini. Bahagian Hal Ehwal Islam banyak menerima aduan dan rungutan daripada orang ramai tentang pembinaan rumah Ibadat secara bebas sama ada di tanah sendiri atau tanah kerajaan. Keadaan ini telah menimbulkan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat.

 

2.

Perbincangan Mengenai Cadangan Garis Panduan Pembinaan Rumah-Rumah Ibadat Bukan Islam

2.1  

Pusat Penyelidikan Islam telah menyediakan cadangan garis panduan dan dikemukakan oleh Pengarahnya kepada ahli mesyuarat untuk dibincang. Tujuan garis panduan tersebut adalah untuk diwujudkan penyelarasan di antara negeri-negeri.

2.2

Cadangan garis panduan yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada rumusan yang telah dibuat dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke 12 pada 21 – 22 Januari 1985.

2.3

Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa sekarang ini tidak ada Enakmen khusus yang mengawal pembinaan rumah-rumah Ibadat bukan Islam sebaliknya bagi orang Islam kawalannya amat ketat sekali.

2.4

Setelah diadakan perbincangan mesyuarat telah mendapat beberapa maklumat mengenai peraturan yang berjalan sekarang di setiap negeri, adalah seperti berikut:

2.4.1     

Di setengah negeri seperti negeri Perak dan Selangor kelulusan permohonan bagi pembinaan rumah Ibadat bukan Islam adalah diluluskan oleh Menteri Besar (Ini berdasarkan kepada keputusan mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri pada tahun 1985). Bagi negeri-negeri lain diluluskan oleh Exco pihak Berkuasa Tempatan melalui proses-proses tertentu.

2.4.2

Di dalam pelan tata atur (lay out plan)  di kawasan projek perumahan tidak dinyatakan dengan jelas tujuan tanah Simpanan Ugama (S.U.) Ini telah menimbulkan interpertasi yang berbeza-beza dan menimbulkan masalah serta perebutan antara penganut-penganut agama. Oleh itu Simpanan Ugama tersebut hendaklah di sebut dengan jelas tujuannya.

2.4.3

Ahli mesyuarat juga telah menimbulkan beberapa keadaan seperti bentuk, saiz, kedudukan dan warna rumah-rumah Ibadat bukan Islam ini dan penduduknya.

2.5

Mesyuarat telah bersetuju supaya diwujud garis panduan lengkap bagi pembinaan rumah Ibadat bukan Islam. Garis panduan tersebut boleh berpandukan kepada kertas cadangan yang telah dibincang dalam mesyuarat ini dengan menambah beberapa kekurangan.

2.6

 Mesyuarat telah mengambil ingatan supaya garis panduan tersebut memasukkan sama pihak-pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan garis panduan tersebut.

2.7

Mesyuarat juga mencadangkan supaya kawasan untuk tanah perkuburan hendaklah ditentukan dalam penyediaan pelan tata atur bagi sesuatu projek perumahan.

2.8

Mesyuarat mengambil ingatan supaya garis panduan yang hendak digubal mestilah boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Tindakan :  Urusetia

3.

Hal-Hal Lain

3.1  

 Mesyuarat bersetuju supaya negeri-negeri yang mempunyai garis panduan pembinaan rumah-rumah Ibadat bukan Islam secara bertulis supaya menghantarkannya kepada Urusetia untuk dijadikan panduan.

Tindakan : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Berkaitan

 

4.

Penangguhan Mesyuarat

Pengerusi menangguhkan mesyuarat dengan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana semua ahli mesyuarat yang telah memberikan pandangan masing-masing. Mesyuarat ditangguhkan jam 11.15 pagi.

 

Pusat Penyelidikan Islam ,

Bahagian Hal Ehwal Islam ,

Jabatan Perdana Menteri .

| e-Dasar Jabatan | Rumah Ibadat |