7.0       KEMUDAHAN PENDIDIKAN  

Kemudahan pendidikan merangkumi Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Sinar, Sekolah Vokasional, Teknik dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).  Di antara kemudahan ini, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah perlu disediakan di peringkat tempatan.

Dasar Jabatan Pendidikan mengenai penyediaan kemudahan pendidikan adalah seperti berikut:

  1. Menggalakkan pelajar-pelajar menghadiri sekolah yang terdekat dengan tempat tinggal;

  2. Sekolah-sekolah menjalankan 1 sesi persekolahan sahaja; dan

  3. Saiz kelas adalah untuk 35 pelajar dan 25 murid bagi Tadika.

Jabatan dan Institusi yang bertanggungjawab di dalam penyediaan kemudahan pendidikan ialah Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Pihak Swasta.

7.1       Garis Panduan Umum  

Berdasarkan prinsip perancangan dan pembangunan sejagat, beberapa garis panduan umum disediakan yang merangkumi:

7.1.1    Perancangan Tapak

  1. Perancangan Kemudahan Pendidikan mengikut hierarki adalah berdasarkan kepada bilangan penduduk, lokasi, keluasan minimum dan keadaan tapak serta bilangan kemudahan yang minimum;

  2. Kemudahan pendidikan (seperti sekolah) seharusnya terletak dalam jarak yang optimum dengan kawasan penduduk tadahan (berhampiran kawasan perumahan) supaya pelajar tidak memerlukan jarak perjalanan yang jauh untuk mendapatkan kemudahan ini;

  3. Tapak sekolah tidak sesuai diletakkan di kawasan paya, berbukit, kawasan dilanda banjir atau kawasan mengalami risiko hakisan tanah serta tanah runtuh;

  4. Kemudahan pendidikan perlulah di lokasi yang lebih kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran, jauh dari kawasan industri dan mempunyai pemisah yang cukup dari gunatanah yang tidak sesuai seperti lebuhraya dan sebagainya;

  5. Sekolah tidak sepatutnya terletak di sepanjang atau berhampiran jalan utama seperti jalan saraf dan jalan ‘collector’ utama bagi mengelakkan kesesakan dan mengutamakan keselamatan.  Sekolah hendaklah diletakkan di sepanjang jalan yang kurang lalulintas iaitu laluan terus (through access) atau jalan-jalan ‘collector’ kecil (minor roads);

  6. Sekolah hendaklah diletakkan berhampiran dengan perkhidmatan kemudahan-kemudahan awam yang lain seperti perkhidmatan bas awam;

  7. Sekolah tidak sepatutnya diletakkan di tapak yang melibatkan perjalanan melalui lorong-lorong yang sunyi atau terpencil;

  8. Tapak yang mempunyai ciri fizikal yang baik contohnya, padang permainan hendaklah mempunyai saliran yang baik agar dapat berfungsi;

  9. Tapak sekolah hendaklah berasingan dengan tapak rumah pangsa tetapi jaraknya berhampiran dari unit kediaman;

  10. Tapak tadika boleh diintegrasikan dengan balai raya atau kemudahan beribadat seperti masjid atau surau.  Ia boleh ditempatkan di komplek pejabat; dan

  11. Perancangan tapak kemudahan pendidikan mestilah selaras dengan cadangan dan Strategi Pembangunan dalam Rancangan Tempatan dan Pelan Susunatur yang telah diluluskan oleh Pihakberkuasa Negeri.

7.1.2    Keluasan dan Saiz Minimum Tapak

  1. Keluasan tapak kemudahan pendidikan mestilah mencukupi untuk menampung pembesaran akan datang.

  2. Keluasan tapak sekolah adalah bergantung kepada keadaan topografi tapak.  Bagi kawasan agak berbukit atau bercerun landai keluasan sekolah perlu lebih luas sekurang-kurangnya 0.8 – 1.2 hektar (2-3 ekar).  Penyediaan kelas dan sesi persekolahan juga mempengaruhi keluasan sekolah; dan

  3. Keluasan minimum tapak sekolah di kawasan bandar boleh dikecilkan mengikut keperluan sekolah yang hendak dibangunkan.

7.1.3    Rekabentuk dan Susunatur

  1. Rekabentuk kemudahan pendidikan mestilah rekabentuk yang berfungsi dan mempunyai ciri-ciri keselamatan;

  2. Rekabentuk bangunan seharusnya yang membolehkan penggunaan teknologi maklumat seranta dan mempunyai daya tahanan dengan kos yang efektif dan penyelenggaraan minimum;

  3. Rekabentuk bangunan Sekolah Sinar mestilah mengambilkira faktor fleksibiliti penggunaan ruang dalaman dan persekitaran sekolah supaya selaras dengan kehendak sekolah sinar;

  4. Kemudahan pendidikan mestilah mempunyai rekabentuk yang boleh mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk proses pembelajaran dan pengajaran; dan

  5. Rekabentuk dan susunan sekolah hendaklah yang mengikut garis kontor dan bentuk muka bumi yang disesuaikan dengan perancangan landskap.

  6. Rekabentuk dan susunan sekolah mengambilkira komponen berikut:

    1. Pejabat Pentadbiran dan Pengetua

    2. Bilik Guru

    3. Perpustakaan

    4. Bengkel dan Bilik Makmal

    5. Kantin

    6. Dewan

    7. Padang/Padang Bola Sepak/Laman Bola Jaring

    8. Gelanggang Permainan

    9. Bilik Air dan Tandas

    10. Pondok Pengawal

    11. Tempat Pembuangan Sampah

    12. Tempat Letak Kereta, Bangsal Basikal dan Motorsikal

    13. ‘Lay-by’ Untuk Bas

    14. Laluan Pejalan Kaki

    15. Surau/Bilik Sembahyang; dan

    16. Menara Tangki Air dan Pencawang Elektrik (jika perlu)

  1. Susunatur pelan sekolah boleh dibahagikan kepada 4 zon utama mengikut fungsi ruang iaitu:

    1. Zon Pentadbiran

    2. Zon akademik

    3. Zon Kediaman

    4. Zon Rekreasi

7.1.4    Sistem Perhubungan dan Kemudahan Sokongan

  1. Sistem perhubungan bagi kemudahan pendidikan mestilah teratur dan selamat kepada pengguna seperti kanak-kanak sekolah;

  2. Laluan bas dan kenderaan ibu bapa dengan lalulintas utama mestilah diasingkan melalui pendekatan seperti berikut:

    1. Menyediakan lorong khas bas sekolah dan perhentian bas;

    2. Menyediakan laluan sehala; dan

    3. Menyediakan beberapa laluan jalan keluar.

  1. ‘Lay-by’ untuk bas di luar kawasan sekolah dan tempat menunggu bas berbumbung perlu disediakan;

  2. Tempat Letak Kenderaan mestilah mencukupi mengikut nisbah pelajar, kakitangan dan pelawat; dan

  3. Kawasan Kemudahan Pendidikan perlu dilandskap dengan pokok-pokok yang bersesuaian, menarik dan senang diselenggara bagi mewujudkan sekolah yang ceria.

7.2         Garis Panduan Umum  

7.2.1    Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)/Taska

  1. Kawasan Tadahan

    1. Tadika perlu disediakan di setiap kawasan penempatan iaitu satu (1) Tadika bagi setiap unit perumahan (2,500 penduduk);

    2. Lokasi Tadika dengan kawasan kediaman adalah dalam jarak berjalan kaki 0.2 km hingga 0.4 km (1/8 hingga ¼ batu) atau 5 minit masa berjalan kaki;

    3. Taska hendaklah disediakan mengikut permintaan tempatan di mana yang perlu; dan

    4. Lokasi Taska boleh ditempatkan di kawasan perumahan atau kompleks pejabat.

  2. Luas Kawasan

    Keluasan minimum yang diperlukan ialah 740 meter persegi (8,000 kaki persegi).

  3. Saiz

    Saiz maksimum sebuah kelas  - 25 murid/kelas

    Jumlah kelas di sebuah Tadika   - 4 kelas

  4. Kelengkapan Tambahan

    Tadika perlu dilengkapkan dengan beberapa kelengkapan termasuk tempat bermaindan persekitarannya yang sesuai untuk belajar menggunakan alat-alat permainan.

7.2.2    Sekolah Rendah

  1. Kawasan Tadahan

    1. Keperluan sekolah rendah adalah bergantung kepada jumlah kumpulan umur bersekolah sesuatu kawasan penempatan atau sekurang-kurangnya satu (1) sekolah bagi satu unit kejiranan (3,000-7,500 penduduk) atau 420-1,050 pelajar; dan

    2. Jarak sekolah rendah dengan kawasan penempatan hendaklah dalam jarak berjalan kaki 0.4 km hingga 0.8 km (¼ hingga ½ batu) atau 10 minit berjalan kaki.

  2. Luas Kawasan

    Luas kawasan yang diperlukan bagi sesebuah sekolah rendah ialah 2-4 hektar atau 5-10 ekar (2 hektar untuk kawasan rata, 3 hektar untuk kawasan berbukit dengan ketinggian tidak melebihi 60 meter (200 kaki) dan kecerunan tidak melebihi 10 darjah (Rujuk Jadual 6.1 dan Jadual 6.2).

  3. Saiz

    Saiz minimum sebuah kelas ialah 35 pelajar/kelas.

7.2.3    Sekolah Menengah

  1. Kawasan Tadahan

    1. Dalam jarak berjalan kaki 0.8 km hingga 1.6 km   (½ - 1 batu) atau 20 minit berjalan kaki; dan

    2. Satu (1) sekolah menengah bagi setiap 2 atau 3 unit kejiranan atau 4 kawasan perumahan (10 peratus penduduk kawasan dalam peringkat umur sekolah menengah) atau 1,000 pelajar.

  2. Saiz Sekolah

    Sepatutnya tidak melebihi 1,260 pelajar/sekolah untuk minimum 9,000 penduduk.

  3. Saiz Kelas

    35 pelajar/kelas untuk 1 sesi persekolahan.

  4. Luas Kawasan

    Luas kawasan minimum yang diperlukan bagi setiap sekolah menengah ialah 3.2-6 hektar (8-15 ekar)(rujuk Jadual 5.1 dan Jadual 5.2).  Keluasan minimum 3 hektar untuk kawasan tanah rata dan 4 hektar untuk kawasan berbukit dengan ketinggian tidak melebihi 200 kaki dan kecerunan tidak melebihi 10 darjah.

 

7.2.4    Sekolah Sinar (rekabentuk sepadu)

Sekolah sinar merupakan sekolah kategori A iaitu 30 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 36 bilik darjah bagi sekolah menengah dan hanya terdapat di bandar besar.  Rekabentuk sekolah ini menggunakan rekabentuk padu yang menyatukan sekolah rendah dan sekolah menengah di dalam satu tapak dengan tujuan menjimatkan ruang dan kos, terutamanya di kawasan yang berkurangan tanah.  Penjimatan keluasan tapak adalah lebih kurang 50 peratus.  Di dalam konsep ini keluasan minimum bagi sekolah ini hendaklah melebihi minimum sekolah menengah 4-6 hektar.

Piawaian kemudahan pendidikan adalah seperti Jadual 7.1 dan 7.2.

JADUAL 7.1 :   KEPERLUAN KELUASAN TAPAK

Bil.

Jenis Sekolah

Keluasan Tapak

Tanah Rata Hektar/(ekar)

Berbukit dan Bercerun Landai Hektar/(ekar)

1.

Sekolah Rendah

2-3
(5-8)

3-4
(8-10)

2.

Sekolah Menengah

3-4.8
(8-12)

4-6
(10-15)

3.

Sekolah Rendah/Menengah (Berkongsi)/Sinar

4-5
(10-13)

6-8*
(16-20)

4.

Sekolah Menengah Teknik

8-10
(20-25)

10-14
(25-35)

5.

Sekolah Menengah Berasrama Penuh

14-16
(25-40)

40-48
(100-120)

6.

Politeknik Maktab Perguruan

32-40
(80-100)

40-48
(100-120)

Sumber:     
“Garis Panduan Untuk Pemilihan Tapak Projek-Projek Pendidikan” oleh Bahagian Pembangunan Penswastaan dan Bekalan, Kementerian Pendidikan Malaysia, 9 Januari 1997.

 

RAJAH 7.1 :   LOKASI DAN JARAK SEKOLAH DARI RUMAH


JADUAL 7.2 :   PIAWAIAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN

 JENIS-JENIS KEMUDAHAN PENDIDIKAN

PIAWAIAN PENDUDUK

KELUASAN KAWASAN

JARAK/MASA PERJALANAN

SAIZ MAKSIMUM

TEMPAT/LETAK KENDERAAN

   
Tadika/Taska  

 

   
2,500 penduduk


740 meter persegi atau 8,000 kaki persegi


0.2km –0.4km  
1/8 – 1/2 batu
5 minit


60 murid/tadika  
4 kelas


1 petak/3 kakitangan  
1 petak/10 pelajar

Sekolah Rendah (12bilik darjah) Sekolah Rendah (24 bilik darjah) Sekolah Rendah (30 bilik darjah)

3,000 penduduk 6,000 penduduk
7,500 penduduk

2.0 – 4.0 hektar atau  
5 – 10 ekar

 

0.4km –0.8km  
1/4 - 3/4 batu  
10 minit

35 pelajar/kelas

1 petak/2 kakitangan  
1 petak/10 pelajar

Sekolah Menengah  
Sekolah Menengah Agama Sekolah Menengah Swasta

Melebihi 9,000 penduduk  
1 sekolah bagi 2 atau 3 unit kejiranan  

3.0 – 6.0 hektar atau 
5 – 10 ekar

0.8km –1.6km  
3/4 – 1 batu  
20 minit

35 pelajar/kelas

1 petak/2 kakitangan  
1 petak/20 pelajar  
1 petak motosikal/10 pelajar

Sekolah Menengah Teknik
Sekolah Menengah Vokasional
Sekolah Menengah Berasrama Penuh /Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama  

 

Peringkat Daerah/ Negeri

8.0 – 6.0 hektar atau 20 – 35 ekar 14.0 – 18.0 hektar atau 35 – 45 ekar

 

Mempunyai Pengangkutan Awam

35 pelajar/kelas

1 petak/2 kakitangan  
1 petak/20 pelajar  
1 petak motosikal/10 pelajar

Kolej dan Institut Pengajian Tinggi/Politeknik

Peringkat Wilayah Persekutuan

8.0 – 4.0 hektar atau 20 ekar – 100 ekar

Mempunyai Pengangkutan Awam (LRT/MRT/ERL) 30 minit – 1 jam  
 

35 – 60 pelajar/kelas

1 petak/2 kakitangan  
1 petak/20 pelajar  
1 petak motosikal/5 pelajar dan 10% dari jumlah untuk pelawat

 

RAJAH 7.2 :  JARAK ANTARA KEMUDAHAN PENDIDIKAN DENGAN KEDIAMAN


 

RAJAH 7.3 :  CONTOH PELAN SUSUNATUR TADIKA



RAJAH 7.4 :  CONTOH PELAN SUSUNATUR SEKOLAH



RAJAH 7.5 :  CONTOH PELAN SUSUNATUR SEKOLAH SINAR


| e-Garispanduan | Kemudahan Masyarakat |