2.0

LATAR BELAKANG  

2.1

Takrifan 

Tanah lapang sebagaimana yang ditakrif oleh Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995, Akta (A933) dalam Seksyen 2(f) adalah sebagai “mana-mana tanah sama ada yang dikepong atau tidak yang dikhaskan atau dirizabkan untuk dikhaskan keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai suatu taman bunga awam, taman awam, padang sukan dan rekreasi awam, tempat makan angin, tempat jalan kaki awam atau sebagai suatu tempat awam”.

Tanah lapang dan rekreasi adalah saling berkaitan.  Tanah lapang adalah merupakan suatu ruang atau tapak yang dikhaskan untuk tujuan seperti yang telah ditetapkan oleh kata.  Manakala rekreasi pula adalah merupakan aktiviti yang dijalankan di atas mana-mana tanah lapang.  Tanah lapang dan rekreasi adalah merupakan satu kawasan awam yang digunakan untuk tujuan riadah yang tidak dikenakan sebarang bayaran masuk.

2.2

Tanah Lapang

Berdasarkan kepada takrifan ini tanah lapang digunakan untuk tujuan Taman Bunga Awam, Taman Awam, Padang Sukan dan Rekreasi Awam, Tempat Makan Angin, Tempat Jalan Kaki Awam dan Tempat Awam.

i.

Taman Bunga Awam

Taman Bunga Awam adalah merupakan suatu kawasan lapang atau rekreasi yang digunakan untuk tujuan rekreasi pasif dan juga aktif oleh semua peringkat umur dalam sesuatu bandar.  Ianya digunakan untuk memberi kemudahan bersiar-bersiar kepada orang awam di samping menikmati kecantikan dan keindahan taman bunga berkenaan.  Taman Bunga Awam ini adalah merupakan kemudahan yang disediakan di Peringkat Nasional dan Wilayah; 

ii.

Taman Awam

Taman Awam atau ‘Public Park merupakan suatu kawasan aman atau pun padang dalam jarak berkenderaan (ride top) yang direkabentuk untuk memberi kemudahan berekreasi atau bersiar untuk orang awam atau penduduk dalam semua peringkat umur.  Taman Awam ini adalah merupakan kemudahan yang disediakan di peringkat bandar;

iii.

Padang Sukan dan Rekreasi Awam

Padang Sukan dan Rekreasi Awam adalah merupakan satu kawasan untuk tujuan rekreasi aktif yang mengandungi berbagai padang sukan.  Ianya disediakan untuk memberi kemudahan kepada golongan pelajar dan belia untuk ber- sukan.  Ianya juga merupakan kemudahan  dalam jarak berkenderaan (ride-to).  Kemudahan ini disediakan di peringkat bandar dan kawasan kejiranan;

iv.

Tempat Peranginan

Tempat Peranginan atau ‘leisure place’ adalah merupakan tempat untuk berehat, tempat bagi memenuhi masa lapang, masa lega tidak bekerja atau masa senggang.  Ianya adalah tempat untuk melakukan aktiviti bagi memenuhi masa yang bebas dari kerja iaitu melakukan sesuatu tanpa arahan dan pengawasan.  Tempat Peranginan ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu jenis formal dan tidak formal;

v.

Tempat Jalan Kaki Awam

Tempat jalan kaki awam adalah merupakan ruang jalan kaki yang terbuka untuk orang awam.  Ianya merupakan satu kawasan yang memang dikhaskan bagi kegunaan awam untuk berjalan kaki.  Di Malaysia tempat jalan kaki awam ini biasanya digabungkan dengan lain-lain kemudahan rekreasi seperti taman bunga awam, taman awam dan kemudahan pejalan kaki di kawasan perumahan; dan

vi.

Tempat Awam

Tempat Awam atau “Public Area” adalah merupakan mana- mana kawasan yang boleh digunakan oleh orang awam tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat umur.  Contoh tempat-tempat awam adalah seperti laluan pejalan kaki awam, taman awam dan tanah lapang awam.

2.3

Jenis Rekreasi

Terdapat dua jenis aktiviti rekreasi yang boleh dijalankan di atas tanah lapang iaitu:

i.

Rekreasi Aktif

Jenis rekreasi aktif adalah seperti berjogging, ‘brisk walk’, bermain bola, berbasikal dan lain-lain.  Tanah lapang yang menyediakan kemudahan untuk aktiviti yang aktif adalah seperti gelanggang sukan, ‘jogging track’ dan padang permainan kanak-kanak; dan 

ii.

Rekreasi Pasif

Jenis aktiviti rekreasi pasif adalah seperti berjalan, bersiar, duduk berehat menikmati keindahan alam, berkelah dan lain-lain.  Kawasan lapang yang menyediakan kemudahan untuk aktiviti pasif adalah seperti taman awam, taman bunga awam, laluan pejalan kaki, wakaf dan tempat peranginan.  Aktiviti rekreasi pasif ini melibatkan semua peringkat umur termasuk golongan tua dan golongan kurang upaya.

2.4

Fungsi Tanah Lapang dan Rekreasi

Fungsi tanah lapang dan rekreasi adalah seperti berikut:

a.

Tempat kanak-kanak berinteraksi dan bermain sejajar dengan keperluan dalam proses pembesaran mereka dari segi mendidik, membangunkan minda dan memajukan kebolehan kesukanan

b.

Tempat bagi belia dan golongan remaja menjalankan aktiviti sukan, rekreasi dan membina sifat murni merangkumi Program Rakan Rekreasi di bawah Program RAKAN MUDA; dan

c.

Sebagai tempat bersiar-siar dan berlipur diri, menikmati udara bersih dan tempat untuk mengurangkan tekanan emosi, mencari ketenangan dan mengurangkan keletihan..  

2.5

Klasifikasi Pengguna  

Pengguna tanah lapang dan rekreasi di kategorikan kepada dua kategori iaitu kumpulan umur dan masyarakat.

i.

Kumpulan Umur

a.

Peringkat kanak-kanak;

b.

Golongan remaja;

c.

Golongan dewasa;

d.

Golongan orang tua;

e.

Golongan kurang upaya

ii.

Kumpulan Masyarakat

a.

Masyarakat Bandar;

b.

Masyarakat Pinggir Bandar; dan

c.

Masyarakat Luar Bandar

| e-Garispanduan | Tanah Lapang Dan Rekreasi |