Majlis Perbandaran Seberang Perai  
New Page 4
 
 
 
 

Soalan Lazim (FAQ) :

New Page 1

  Cukai / Kompaun & Notis / Kebenaran Merancang / Aduan / Taksiran /
 
Pulangan Balik Cukai Taksiran / SMS - Bayaran Cukai

 
Jabatan Perbendaharaan (Berkaitan Cukai)
 
1. Apa yang dimaksudkan dengan cukai taksiran?
Cukai taksiran ialah cukai yang dikenakan ke atas pegangan yang terletak di dalam kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai seperti rumah kediaman, harta perniagaan (kedai, komplek, hotel dsbnya), harta perindustrian (kilang, perlabuhan dsbnya) dan tanah (kosong tanpa bangunan, pertanian, tanah yang diberi kelulusan untuk tatasusunan

 

2. Bolehkah cukai taksiran diberi pelepasan?
Cukai taksiran boleh diberi pelepasan jika bangunan tersebut dirobohkan atau dimusnahkan dengan sebab-sebab kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain.

 

3. Mengapa cukai taksiran dikenakan ke atas tanah oleh MPSP sedangkan ianya telah dikenakan cukai hasil oleh Pejabat Tanah?
Cukai tanah yang dikenakan ke atas setiap tanah menurut Kanun Tanah Negara 1966 adalah berdasarkan kepada hakmilik yang dilupuskan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1966; sedangkan Cukai taksiran yang dikenakan oleh MPSP adalah mengikut peruntukan di bawah Akata Kerajaan Tempatan 1976.

 

4. Adakah konsesi diberi jika sesebuah rumah tersebut diduduki oleh pemunyanya sendiri?

Tidak. Tidak ada sebarang peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membolehkan MPSP memberi konsesi atas bayaran cukai taksiran bagi rumah yang diduduki sendiri

 

5. Adakah cukai taksiran dikenakan bagi bangunan yang tidak diduduki atau kosong?
Ya, cukai taksiran tetap dikenakan walaupun sesebuah bangunan atau rumah itu kosong. Walaubagaimanapun, jika bangunan tersebut kosong dan untuk disewakan, maka para pemilik bolehlah memohon agar bayaran cukai taksiran mereka dipulangkan. Proses ini dipanggil pulangan balik hasil

 

6. Bagaimanakah cukai taksiran ditentukan?

Cukai taksiran ditentukan berdasarkan formula berikut:

        Cukai taksiran    =    Nilai Tahunan        X        Kadar(%)

 

7. Bagaimanakah kadar (%) ditentukan?
Kadar(%) ditentukan berdasarkan keperluan Anggaran Belanjawan Majlis, atau kos-kos yang ditanggung Majlis.

 

8. Bagaimanakah Nilai Tahunan ditentukan?

Nilai Tahunan adalah anggaran nilai sewa kasar tahunan, dalam bentuk formula:

    Nilai Tahunan    =    Anggaran Sewa Kasar Sebulan     X    12 bulan

 

9. Bagaimana Nilai Tahunan ditentukan bagi rumah yang diduduki oleh pemilik sendiri dan bukan untuk disewa?
Rumah yang diduduki sendiri, rumah yang boleh disewakan tetapi ditinggalkan kosong dan rumah yang disewakan, kesemuanya mempunyai "Nilai Sewa". Oleh itu, untuk menentukan Nilai Tahunan bagi sesebuah rumah, maka rumah tersebut akan diandaikan "kosong dan untuk disewakan" dan anggaran sewa sebulan didasarkan pada sewaan yang dibayar untuk rumah-rumah sejenis yang berdekatan. 

 

10. Apa yang dimaksudkan dengan Notis Kadaran?
Notis Kadaran adalah notis pemberitahuan kepada pemilik-pemilik mengenai cadangan nilai tahunan yang ditentukan ke atas pegangan mereka. Dengan maksud lain, ia adalah satu makluman mengenai jumlah cukai taksiran yang akan dikenakan.

 

11. Bolehkah pemilik membuat bantahan ke atas Nilai Tahunan tersebut?
Pemilik boleh membuat bantahan ke atas Nilai Tahunan tersebut dengan menghantar surat kepada Majlis. Setiap pemilik yang membuat bantahan akan diberi peluang untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Cukai bagi mengemukakan alasan-alasan kepada bantahannya.

 

12. Bolehkah pemilik yang membuat bantahan mewakilkan orang lain untuk hadir bagi pihaknya di hadapan Jawatankuasa Rayuan Cukai?
Jika pemilik yang telah membuat bantahan ke atas Nilai Tahunan tidak dapat hadir di hadapan Jawatankuasa Rayuan Cukai, maka pemilik bolehlah mewakilkan orang lain untuk menghadirkan diri bagi pihaknya dengan syarat wakil tersebut mengemukakan 'Surat Kuasa' yang ditandatangani oleh pemilik yang membuat bantahan.

 

13. Bagaimanakah keputusan Jawatankuasa Rayuan Cukai diberitahu kepada para pemilik?
Keputusan Jawatankuasa Rayuan Cukai akan dimaklumkan kepada para pemilik secara bersurat.

 

14. Adakah pemilik masih boleh membuat rayuan setelah Jawatankuasa Rayuan Cukai membuat keputusannya?
Boleh, para pemilik perlulah merayu kepada Mahkamah Tinggi dengan cara usul permulaan dengan syarat bayaran cukai yang telah ditetapkan dibayar kepada MPSP terlebih dahulu.

 

15. Bilakah bil-bil cukai taksiran akan dikeluarkan?
Bil-bil akan dihantar sebanyak dua kali setahun, iaitu dalam bulan Januari dan Julai.

 

16. Bilakah tempoh bayaran bagi bil-bil cukai taksiran?

Tempoh bayaran bagi bil-bil cukai taksiran adalah seperti berikut:

Setengah Tahun

Tempoh Pembayaran
Pertama 1hb Januari sehingga 28hb. Februari / 29 Februari
Kedua 1hb Julai sehingga 31hb. Ogos

 

17. Dimanakah bil-bil cukai taksiran boleh dibayar?
Para pelanggan bolehlah membuat bayaran dilokasi-lokasi berikut:

Saluran Bayaran (Sila Klik)

 

18. Apakah akan terjadi jika tidak membayar atau lewat membayar cukai taksiran?

Jika anda membayar selepas tempoh yang telah ditetapkan, iaitu selepas 28 atau 29 Februari dan 31 Ogos, Notis (Borang E) akan dikeluarkan kepada anda. Anda dikehendaki menjelaskan semua tunggakan dalam masa 15 hari daripada tarikh notis dan denda seperti berikut akan dikenakan:

 Jumlah Terhutang

   Denda yang dikenakan 
 RM100 dan ke bawah RM1.00
 Lebih daripada RM100 2% daripada jumlah tunggakan

Jika anda masih lagi belum membuat bayaran selepas menerima Notis (Borang E), waran tahanan akan dikeluarkan kepada anda dan kos waran sebanyak 20% atas jumlah tunggakan cukai akan dikenakan. Waran ini membolehkan pegawai MPSP yang diberi kuasa:

  • Merampas (mensita) harta alih yang ada di dalam bangunan

  • Melelong bangunan/tanah melalui pendaftar pelelong yang dilantik oleh pihak Majlis

 

19. Jika pemilik masih belum membayar tunggakan cukai taksiran, adakah Majlis boleh menahan permohonan pemilik untuk hal-hal lain yang berkaitan?

Ya, Majlis boleh menahan proses permohonan pemilik yang mempunyai tunggakan dari memperolehi kelulusan berikut:

  • Kelulusan lesen perniagaan di pegangan tersebut

  • Kelulusan pelan susunatur.

  • Kelulusan pelan bangunan.

  • Kelulusan sijil kelayakan menduduki bangunan (OC)

20. Adakah  bayaran perlu dibuat jika rumah tersebut tidak didiami?
Ya, premis yang kosong atau belum diduduki lagi tidak layak untuk pengecualian, pembatalan atau pengurangan cukai taksiran. Cukai taksiran adalah perlu dibayar tidak kira sama ada rumah itu diduduki atau kosong. Akan tetapi premis yang kosong dan sesuai diduduki layak untuk memohon pulangan balik hasil.

 

21. Apakah syarat-syarat permohonan pulangan balik hasil premis kosong?

Bagi memohon pulangan balik hasil, pemilik mestilah membuat pemberitahuan dengan menghantar surat kepada Jabatan Penilaian, MPSP dalam masa tujuh (7) hari dari mulanya tempoh pulangan balik hasil itu dituntut. Cukai taksiran boleh dipulangkan bagi tempoh rumah anda itu dikosongkan tertakluk kepada syarat-syarat yang dikehendaki oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976 seperti berikut:

 

  • Bangunan adalah TIDAK DIDUDUKI/KOSONG dan UNTUK DISEWA

  • Telah memberi notis bertulis kepada Majlis mengenai kekosongan (Borang permohonan (BP. 9) hendaklah diisi dan dikembalikan).

  • Tempoh yang tidak diduduki hendaklah tidak kurang dari satu bulan kalendar

  • Segala usaha yang munasabah untuk mendapatkan seorang penyewa ('tenant') telah dibuat melalui iklan dalam surat khabar atau paparkan papan kenyataan 'UNTUK DISEWA' hendaklah diletakkan dihadapan premis 

  • Cukai taksiran hendaklah dijelaskan termasuk semua tunggakan dalam tempoh pulangan balik hasil dituntut

 

22. Apakah tindakan yang perlu diambil jika terdapat tukar milik, mewarisi, mewariskan membeli, atau menjual harta?
  • Semak dengan MPSP bagi memastikan tiada tunggakan cukai taksiran pegangan tersebut. Atau, semakan boleh dibuat oleh peguam atau agen pengurusan yang menguruskan harta tersebut.

  • Memaklumkan kepada MPSP dengan mengisi Borang I atau Borang J (Notis Jualan atau Pindah milik [Sek 160, AKT 1976] dengan disertakan maklumat-maklumat berkenaan dalam tempoh 3 bulan selepas pindah milik disempurnakan. Jika anda gagal, pihak MPSP boleh mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Segala kos guaman akan dituntut oleh peguam dari pemilik harta.

 

23. Apakah tindakan yang perlu diambil jika premis yang roboh, buruk, terbakar, terbiar atau tidak sesuai didiami?
Sila tulis surat rasmi kepada Jabatan Penilaian, MPSP bagi membolehkan bangunan ini dikeluarkan daripada Senarai Nilaian.

 

24. Bolehkah cukai taksiran diberi pengecualian?

Mengikut Seksyen 134 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Cukai taksiran boleh dikecualikan apabila sesuatu pegangan atau mana-mana bahagiannya digunakan semata-mata:

  • Sebagai tempat awam untuk sembahyang

  • Sebagai tanah perkuburan atau krematorium awam yang berlesen

  • Bagi sekolah awam

  • Sebagai tempat awam bagi maksud khairat atau maksud sains, sastera atau seni halus

 

Majlis Perbandaran Seberang Perai
Jalan Perda Utama, Bandar Perda
14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tel: 04-549 7555 , Fax: 04-538 9700

|| Hak Cipta | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian ||
Laman MPSP telah dilancarkan pada 8 Mei 2000 oleh Y. Bhg. Tan Sri Dato' Samsudin bin Osman, Ketua Setiausaha Negara.
Paparan menarik menggunakan IE4 dan ke atas dengan 1024x768 piksel.

(C)Hakcipta Terpelihara 2003, Majlis Perbandaran Seberang Perai.