Sejarah Ringkas

Tarikh kemaskini pada

 

 Tahun 1800

Pentadbiran Seberang Perai berpusat di Pulau Pinang. Dengan keluasan 489.3 kilometer persegi dan bilangan penduduk seramai lebih kurang lima ribu orang.

 

 Tahun 1850

 Penerokaan bermula, Seberang Perai bertukar wajah dari kawasan hutan dan belukar kepada sebuah kawasan pertanian.

 

 Tahun 1913

Ordinan baru dikeluarkan, Kerajaan Negeri kemudiannya menubuhkan Lembaga Luar Bandar. Majlis Bandaran Butterworth dan Bukit Mertajam serta Majlis Luar Bandar Utara, Tengah dan Selatan telah ditubuhkan.

 30 Jun 1974

 Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan-Peruntukan Sementara) 1973 telah dikuatkuasakan di seluruh negeri Pulau Pinang. Pada 1 Julai 1974, ketiga-tiga Majlis Daerah Utara, Majlis Daerah Tengah dan Majlis Daerah Selatan, Seberang Perai disatukan dan dikenali sebagai Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan, Seberang Perai.

 15 Dis 1976

 Akta Kerajaan Tempatan 1976 berkuatkuasa, Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Seberang Perai dikenali sebagai Majlis Perbandaran Seberang Perai dan mendapat taraf Majlis Perbandaran.

 

 Permulaan Kami...

Seberang Perai atau Province Wellesley dahulunya menjadi tanah jajahan British pada tahun 1800. Pentadbiran seberang Perai ketika itu berpusat di Pulau Pinang.

Dengan keluasan 489.3 kilometer persegi dan bilangan penduduk seramai lebih kurang lima ribu orang, kawasan yang dipenuhi belukar, paya dan hutan ini kemudiannya bertukar kepada pertanian apabila usaha-usaha penerokaan bermula pada tahun 1850.

 

history1

 

Setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, keluasan Province Wellesley bertambah menjadi 740.12 kilometer. Kependudukan pula semakin bertambah khususnya di kawasan pusat perdagangan seperti Butterworth dan Bukit Mertajam.

Keluasan Seberang Perai walaubagaimanapun telah dikurangkan kepada 738.41 kilometer persegi kesan daripada perubahan sempadan Sg Muda antara negeri Kedah dan Pulau Pinang.

 

history2

 

Pada tahun 1896, Ordinan Perbandaran diperkenalkan yang membolehkan Kerajaan Negeri membuat Undang-Undang untuk mengendalikan hal ehwal awam. Pada tahun 1913, satu ordinan baru telah dikeluarkan yang mana telah memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri menubuhkan Lembaga Luar Bandar. Majlis Bandaran Butterworth dan Bukit Mertajam serta Majlis Luar Bandar Utara,Tengah dan Selatan telah ditubuhkan.


Pada tahun 1961, pentadbiran Majlis Bandaran dan Majlis Luar Bandar telah disatukan dibawah satu kuasa Majlis Daerah dan ditadbirkan oleh Majlis Daerah masing-masing. Pada 30 Jun 1974, Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan-Peruntukan Sementara) 1973 telah dikuatkuasakan di seluruh negeri Pulau Pinang.  Pada 1 Julai 1974, ketiga-tiga Majlis Daerah Utara, Majlis Daerah Tengah dan Majlis Daerah Selatan, Seberang Perai disatukan dan dikenali sebagai Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan, Seberang Perai.


Pada 15 Disember 1976, melalui pemakaian Akta Kerajaan Tempatan 1976, Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan telah dinaikkan taraf menjadi Majlis Perbandaran Seberang Perai.