|
Sejarah Ringkas
|
Permulaan Kami...
Seberang Perai atau Province Wellesley dahulunya menjadi tanah jajahan British pada
tahun 1800. Pentadbiran seberang Perai ketika itu berpusat di Pulau Pinang. Dengan
keluasan 489.3 kilometer persegi dan bilangan penduduk seramai lebih kurang lima ribu
orang, kawasan yang dipenuhi belukar, paya dan hutan ini kemudiannya bertukar kepada
pertanian apabila usaha-usaha penerokaan bermula pada tahun 1850.
Setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874,
keluasan Province Wellesley bertambah menjadi 740.12 kilometer. Kependudukan pula semakin
bertambah khususnya di kawasan pusat perdagangan seperti Butterworth dan Bukit Mertajam.
Keluasan Seberang Perai walaubagaimanapun telah dikurangkan
kepada 738.41 kilometer persegi kesan daripada perubahan sempadan Sg Muda antara negeri
Kedah dan Pulau Pinang. |
 Pada tahun 1896, Ordinan Perbandaran
diperkenalkan yang membolehkan Kerajaan Negeri membuat Undang-Undang untuk mengendalikan
hal ehwal awam. Pada tahun 1913, satu ordinan baru telah dikeluarkan yang mana telah
memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri menubuhkan Lembaga Luar Bandar. Majlis Bandaran
Butterworth dan Bukit Mertajam serta Majlis Luar Bandar Utara,Tengah dan Selatan telah
ditubuhkan.
Pada tahun 1961, pentadbiran Majlis Bandaran dan Majlis
Luar Bandar telah disatukan dibawah satu kuasa Majlis Daerah dan ditadbirkan oleh Majlis
Daerah masing-masing. Pada 30 Jun 1974, Akta Kerajaan Tempatan
(Peruntukan-Peruntukan Sementara) 1973 telah dikuatkuasakan di seluruh
negeri Pulau Pinang. Pada 1 Julai 1974, ketiga-tiga Majlis
Daerah Utara, Majlis Daerah Tengah dan Majlis Daerah Selatan, Seberang
Perai disatukan dan dikenali sebagai Lembaga Pengurus Kerajaan
Tempatan, Seberang Perai.
Pada 15 Disember 1976, melalui pemakaian Akta Kerajaan
Tempatan 1976, Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan telah dinaikkan taraf menjadi Majlis
Perbandaran Seberang Perai. |