|
MUTIARA KATA PUAN MAIMUNAH MOHD SHARIF
PENGERUSI PUSPANITA MPSP
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tiada lontaran kata seindah bahasa yang
dapat saya uraikan di sini. Namun,
sebagai pembuka kata, ingin saya
sampaikan ucapan ribuan terima kasih
atas ruang dan peluang yang diberikan
kepada saya bagi menzahirkan sepatah dua
kata kepada semua ahli puspanita MPSP
dan sesiapa yang singgah di laman web
Puspanita ini.
Alhamdulillah, dengan pelantikan saya
sebagai Yang Dipertua MPSP, secara tidak
langsungnya saya juga turut berperanan
sebagai pengerusi Puspanita MPSP.
Pelantikan ini merupakan cabaran yang
cukup mengujakan buat saya untuk
menjadikan Puspanita sebagai sebuah
persatuan yang berdaya saing dan
berinovatif serta seiring dengan
persatuan-persatuan lain di MPSP dan di
negeri Pulau Pinang.
Dengan penuh rasa takzim serta
bertanggungjawab atas amanat yang
diletakkan atas bahu saya selaku
pengerusi, saya mempunyai harapan agar
keluarga Puspanita MPSP ini akan lebih
berkembang dengan penambahan bilangan
ahli meliputi keseluruhan kakitangan
wanita MPSP termasuk isteri staf lelaki.
Namun, ianya merupakan sesuatu yang yang
perlu diusahakan secara bersama. Adalah
diharapkan barisan jawatankuasa serta
biro yang dilantik dapat memainkan
peranan dalam menggerakkan
aktiviti-aktiviti yang mampu memberi
manfaat kepada ahli dan seterusnya
menarik minat mereka yang bukan ahli
untuk turut menyertai puspanita.
Ahli Puspanita adalah juga merupakan
tunjang pentadbiran yang turut sama
berganding bahu dengan rakan-rakan
seperjuangan yang lain. Ahli Puspanita
hendaklah terus menimba ilmu pengetahuan
dan pengalaman untuk kita jadi lebih
kreatif, inovatif dan berfikiran terbuka
untuk menyahut cabaran di zaman
globalisasi ini.
Saya mengalu-alukan pandangan semua
pihak dalam memberikan maklumbalas dan
pandangan untuk menambahbaik Puspanita
MPSP. Laman web Puspanita yang telah
dibangunkan ini boleh menjadi medan
pemberitahuan serta perkongsian maklumat
di kalangan kita semua. Harapan saya,
keceriaan Puspanita akan turut mewarnai
suasana kerja di MPSP dan seterusnya
mewujudkan ruang silaturrahim yang lebih
erat untuk kita semua. Akhir kata dari
saya, sekalung penghargaan serta ucapan
terima kasih kepada ketua-ketua Jabatan
yang memberikan kerjasama erat serta
peluang kepada staf masing-masing untuk
turut serta dalam perjalanan aktiviti
Puspanita MPSP selama ini.
Sekian , terima kasih.
Maimunah Mohd Sharif
Pengerusi Puspanita MPSP. |